BIASISWA, PINJAMAN & DERMASISWA

Dari seawal sebelum dan sehinggalah pengumuman kepututusan peperiksaan antara soalan yang paling kerap ditanya adalah tentang biasiswa. Sepatutnya lebih tepat ditanya sebagai pembiayaan pendidikan. Rasanya ramai yang tidak begitu faham tentang pembiayaan pendidikan – biasiswa, pinjaman & dermasiswa.

Ada juga penggunaan istilah yang salah seperti pengurangan yuran yang disebut sebagai biasiswa. Contohnya yuran sebenar adalah RM40,000 tetapi pelajar diberi biasiswa sebanyak RM20,000 jadi pelajar hanya perlu bayar yuran RM20,000 sahaja – ini bukan biasiswa tetapi pengurangan yuran atau diskaun. Cuma apabila disebut biasiswa, mungkin bunyinya lebih akademik berbanding menggunakan perkataan diskaun – lebih bersifat seperti harga barang di kedai.

Di dalam tulisan yang tidak seberapa ini saya akan cuba huraikan sedikit sebanyak untuk memudahkan kefahaman semua.

BIASISWA
Adalah satu bentuk pembiayaan yang diberikan kepada pelajar dengan ikatan perjanjian di mana pelajar setelah bergraduat perlu memenuhi perjanjian dengan berkerja dengan syarikat atau agensi yang memberikan biasiswa tersebut. Selain itu pelajar perlu memenuhi syarat pencapaian tertentu di dalam pengajian atau berkemungkinan biasiswa akan digantung atau ditarik balik. Ada juga agensi yang memberikan biasiswa ini akan mensyaratkan pelajar untuk melaporkan diri di agensi berkenaan pada setiap kali cuti semester dengan mengikuti program yang telah diatur khusus kepada pemegang biasiswa agensi berkenaan. Kegagalan di dalam pengajian atau kegagalan pelajar memenuhi syarat perjanjian biasiswa boleh menyebabkan pelajar akan dikenakan tindakan yang agak keras daripada penganjur (pemberi biasiswa).

Kriteria pemberian pinjaman ini biasanya sangat ketat bagi menjamin pelajar yang menerima biasiswa ini akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperolehi keputusan cemerlang dan tidak akan menyusahkan pemberi biasiswa sekiranya pelajar gagal dan apa saja yang tidak diingini. Jadi biasanya akan memerlukan pencapaian ‘straight A’ malah ada yang mensyaratkan sehingga A+ – demi menjamin pelaburan mereka untuk menaja pelajar belajar akan membuahkan hasil yang diharapkan
Yang penting mesti difahami adalah biasiswa bukan duit free yang pelajar boleh terima dan berbelanja sesuka-hati.

PINJAMAN
Penjelasan mudah adalah setiap yang dipinjam mesti dibayar balik. Namun ada beberapa agensi memberikan keistimewaan tertentu. Contohnya peminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang bergraduat dengan ijazah kepujian kelas pertama akan mendapat pengecualian daripada bayaran balik sepenuhnya (bukan ditukar menjadi biasiswa – sebagaimana ada yang menyebutnya begitu), tetapi dikecualikan daripada bayaran balik sepenuhnya. Ini hanya terhad untuk pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sahaja; Tiada pengecualian bayaran balik untuk graduan diploma kelas pertama. Pinjaman-pinjaman lain seperti MARA dll. pun ada keistimewaan dari segi jumlah bayaran balik berdasarkan pencapaian pelajar semasa bergraduat (berapa CGPA yang dicapai).

Kriteria untuk pinjaman PTPTN adalah bersamaan dengan syarat kemasukan ke program pengajian yang pelajar ikuti. Agensi lain mungkin ada syarat yang lebih ketat.

PINJAMAN BOLEH UBAH
Ini adalah istilah yang agak baru yang digunakan oleh kebanyakkan agensi. Di dalam pinjaman boleh ubah ini pelajar akan menerima pembiayaan sebagai pinjaman. Sekiranya pelajar bergraduat dengan keputusan cemerlang ianya akan diubah menjadi biasiswa dimana pelajag setelah bergraduat tidak perlu membayar balik pinjaman dan berpeluang untuk berkerja dengan pemberi pinjaman boleh ubah ini. Sebaliknya jika hanya lulus (tidak cemerlang) ianya akan kekal sebagai pinjaman di mana pelajar perlu membayar balik pinjaman tersebut dan perlu mencari pekerjaan sendiri.

Kriteria penawaran biasanya agak ketat juga walaupun tidaklah seketat kriteria untuk biasiswa.

DERMASISWA
Ini sahaja yang bolehlah disifatkan sebagai “duit-free” ; Di mana pelajar yang mendapat pembiayaan dalam bentuk dermasiswa ini tidak terikat dengan perjanjian untuk mesti berkerja dengan pemberi dermasiswa, kecuali mesti memastikan tidak terkandas dalam pengajian yang boleh menyebabkan dermasiswa ditarik balik.

Kriterianya biasanya sangat ketat bagi menjamin pelajar yang menerima dermasiswa ini akan berjaya di dalam pengajian kerana jika gagal ianya akan merugikan pemberi dermasiswa yang biasanya daripada tabung zakat dsb…

Nasihat saya, tak perlu terkejar-kejar untuk nak dapatkan biasiswa kalau keputusan peperiksaan SPM/STPM yang biasa-biasa saja. Pinjam dari PTPTN pun ok sebab pelajar tidak akan terikat untuk mesti berkerja dengan pemberi biasiswa selepas tamat belajar – bebas memilih nak kerja dengan siapa. Namun ada yang menganggap biasiswa bukan saja untuk tujuan pembiayaan tetapi jaminan kerja. Tetapi pemberi biasiswa pun bijak juga sebab itu juga dah tak banyak biasiswa sekarang tetapi dijadikan pinjaman boleh ubah – di mana hanya jika pelajar bergraduat dengan keputusan cemerlang sahaja yang akan diambil berkerja dan pembiayaan akan menjadi biasiswa; Tetapi jika bergraduat dengan keputusan yang rendah atau hanya cukup-cukup makan, penaja tak akan ambil graduan tajaannya untuk berkerja tetapi akan menukar pembiayaan tersebut kepada pinjaman – peminjam kena bayar balik pembiayaan yang telah diberi.

Untuk lepasan SPM yang berkelayakan kenapa tidak masuk matrikulasi atau asasi IPTA di mana pelajar tidak perlu ambil apa-apa pembiayaan (pinjaman atau biasiswa) kerana pelajar akan dapat elaun RM250/bulan x 5 bulan(1 semester) x 2 semester berjumlah RM2,500. Kalau di matrikulasi yuran untuk jurusan sains hanyalah sebanyak RM499.64 setahun. Jadi masih ada baki RM2,000.36 sen untuk kegunaan masa pengajian – tak perlu pembiyaan. Pelajar hanya perlu pembiayaan apabila di ijazah sarjana muda nanti. Kalau pinjam PTPTN semasa ijazah sarjana muda, belajar bersungguh-sungguh untuk dapat keputusan ijazah sarjana muda kelas pertama – pelajar akan mendapat pengecualian bayaran balik sepenuhnya apa yang dipinjam dari PTPTN – bergraduat tanpa sebarang hutang selain menjadi idaman majikan untuk mengambil anda berkerja sebagai pemegang ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama..

Dengan ijazah kelas pertama, pelajar mungkin akan tawarkan untuk terus ke PhD. tanpa perlu melalui pengajian sarjana (masters). Malah ada beberapa orang rakan pensyarah IPTA menceritakan bahawa ada universiti yang akan menawarkan graduan kelas pertama ini untuk menjadi pensyarah dan kemudiannya (selepas 1 – 2 tahun) akan ditawarkan biasiswa untuk ke PhD. dan kembali menjadi pensyarah di universiti berkenaan – mengisi ikatan perjanjian penajaan pengajian PhD.

Share This: