Pengiktirafan, Kelulusan, Akreditasi – KPTM, KPM, JPA, MQA dll..

Jangan mudah terkeliru dengan kenyataan-kenyataan yang menggunapakai nama-nama kementerian, Jabatan atau agensi tertentu untuk satu-satu program pengajian.

contohnya

  • Program yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia / Kementerian Pendiikan Malaysia
  • Program yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
  • Program yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Kedua-dua kementerian ini tidak memberikan kelulusan terhadap mana-mana program pengajian secara langsung tetapi melalui agensi di bawahnya iaitu Agensi Kelayakan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MQA (Malaysian Qualification Agency), yang dahulunya pernah menggunakan nama Lembaga Akreditasi Negara (LAN). MQA pula tidak mengiktiraf mana-mana IPT tetapi memberikan kelulusan dan akreditasi bagi setiap program pengajian yang ditawarkan oleh sesebuah IPT.

Peranan Setiap Agensi 

MQA memberikan kelulusan kepada sesebuah IPT untuk memulakan satu-satu program pengajian. Kelulusan diberi berdasarkan kepada kesediaan IPT berkenaan untuk memulakan program pengajian. Persediaan dinilai berdasarkan berbagai aspek dari segi persediaan kurikulum pengajian, tenaga pengajar, kemudahan bilik kuliah, makmal dan lain-lain sekurang-kurangnya untuk 2 semester pertama bersama dengan unjuran untuk semester pengajian berikutnya sehinggalah semester terakhir pengajian. MQA akan melantik panel untuk melawat IPT berkenaan untuk menilai kesediaan IPT memulakan program tersebut dan IPT hanya boleh membuat pengambilan pelajar setelah mendapat kelulusan dari MQA.

Kelulusan ini juga dikenali sebagai Akreditasi Provisional (Provisional Accreditation) – Yang bermakna program ini belum mendapat akreditasi sepenuhnya.

Setelah pengambilan pelajar dibuat, panel MQA akan datang melawat ke IPT berkenaan untuk memastikan program telah dijalankan sebagaimana sepatutnya dan memeriksa persediaan IPT untuk memulakan semester berikutnya bagi kumpulan pertama pelajar program berkenaan. Lawatan ini akan dilakukan pada setiap semester pengajian bagi pelajar kumpulan pertama ini; Jadi IPT hendaklah memastikan segala keperluan program sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen program dipatuhi sepenuhnya serta mengambil tindakan sewajarnya diatas apa juga teguran dan cadangan yang diberikan oleh panel MQA yang melawat IPT. Panel MQA juga akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan pelajar progam berkenaan sahaja (tanpa kehadiran kakitangan IPT) untuk mendapatkan maklum balas dari pelajar jika ada perkara yang perlu diberikan perhatian untuk disalurkan kepada pihak IPT oleh panel MQA tersebut.

Setelah memenuhi segala keperluan di sepanjang pengendalian program dari semester 1 sehinggalah ke semester terakhir, panel MQA akan membuat pengesyoran kepada IPT berkenaan untuk mengemukakan permohonan akreditasi penuh (full accreditation) pada semester terakhir pengajian pelajar kumpulan pertama program pengajian berkenaan. Jika semua keperluan dipenuhi maka Sijil Akreditasi bagi program berkenaan akan diperolehi sebelum pelajar kumpulan pertama bergraduat – bermakna pelajar yang bergraduat ini; Bergraduat dari program pengajian yang telah mendapat perakuan akreditasi (penuh) dari MQA. Program yang telah mendapat perakuan akreditasi dari MQA akan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia atau MQR (Malaysian Qualification Register) di http://www2.mqa.gov.my/mqr/. Pengguna telefon pintar boleh memuat-turun aplikasi mudahalih MQR untuk diguna di telefon pintar

Dalam bahasa yang mudah, program yang telah mendapat akreditasi adalah program pengajian yang telah terbukti sempurna dijalankan sebagaimana sepatutnya ia dijalankan. 

Akreditasi yang diberikan untuk program berkenaan dan bukan kepada keseluruhan institusi yang mungkin boleh dikelirukan dengan kenyataan seperti semua program telah mendapat pengiktirafan MQA (sedangkan dalam keadaan sebenar ianya tidak begitu – sepatutnya mendapat kelulusan atau akreditasi dari MQA)

Peranan Kementerian Pendidikan Tinggi pula adalah untuk meluluskan lesen bagi sesebuah IPT untuk beroperasi. Jadi adalah tidak mungkin dengan mudahnya ada IPT yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana untuk beroperasi di sesebuah premis, bangunan dan seumpamanya, IPT tersebut perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, dan agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Bomba, Kesihatan dan lain-lain. Yang menjadikan mustahil untuk berlakunya satu bentuk penipuan seperti adanya sebuah bangunan dengan papan tanda nama institusi untuk beroperasi.

JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tidak lagi memberikan apa-apa pengiktirafan kepada mana-mana program pengajian yang ditawarkan oleh IPT (IPTA/IPTS) dalam negara kerana peranan tersebut telah diambil alih oleh Agensi Kelayakan Malaysia; Yang bermakna semua program pengajian yang diluluskan dan mendapat akreditasi MQA adalah diiktiraf oleh JPA; JPA tidak memberikan pengiktirafan secara langsung kepada mana-mana program pengajian atau IPT.

JPA pernah diberi tanggung-jawab untuk menyediakan senarai program pengajian di universiti-universiti luar negara yang diiktiraf, namun kini peranan tersebut telah ditempatkan di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang boleh disemak di laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam di https://app.mohe.gov.my/iktiraf/ 

Apa yang pelajar, ibubapa dan guru perlu tahu

Apabila pelajar merancang untuk menyambung pengajian ke IPT (IPTA/IPTS) apa yang penting diketahui adalah samada program pengajian yang ingin dipohon telah mendapat kelulusan atau tidak atau telah mendapat akreditasi. Tidak mudah untuk sesebuah IPT untuk menipu pelajar dengan menawarkan program pengajian yang tidak mendapat kelulusan atau akreditasi, kerana hanya program yang telah mendapat kelulusan atau akreditasi sahaja yang melayakkan pelajarnya untuk mendapatkan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MARA atau agensi lain.

Jadi tidak timbul cerita seperti masuk belajar di sebuah IPT, ambil pinjaman PTPTN tetapi program tidak diiktiraf, duit pinjaman lesap dan pelajar terpaksa menanggung kerugian untuk membayar balik pinjanan PTPTN – ini tidak mungkin berlaku.

Adalah merupakan satu kesalahan besar yang boleh menyebabkan ketua eksekutif IPT berkenaan boleh dipenjarakan sekiranya gagal menjelaskan denda kesalahan melakukan perbuatan ini yang sangat berat.

Pelajar dan ibubapa berhak untuk meminta untuk mendapatkan maklumat tentang kelulusan atau akreditasi program yang ingin dipohon daripada IPT berkenaan. Untuk program pengajian yang telah mendapat akrediasi, ianya boleh disemak di laman web Daftar Kelayakan Malaysia

Antara program yang mendapat kelulusan dan program yang mendapat akreditasi

Setelah dijelaskan di atas, mungkin timbul persoalan bagi pelajar dan ibu bapa untuk memilih samada program yang mendapat kelulusan atau pun program yang telah mendapat akreditasi dari MQA.

Dari segi persediaan IPT, program yang hanya mendapat kelulusan akan meletakkan sesebuah IPT akan sentiasa bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan yang perlu bagi memenuhi apa juga syarat yang ditetapkan untuk program tersebut mendapat akreditasi. Secara tidak langsung pelajar akan dapat menikmati segala kemudahan yang terbaik diberikan oleh IPT berkenaan.

IPT biasanya tidak akan mengambil risiko untuk tidak bersungguh-sungguh mendapatkan akreditasi kerana jika gagal mendapatkan akreditasi tersebut ianya bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi reputasi IPT berkenaan pada pandangan umum tetapi juga akan turut menjejaskan pengambilan pelajar di masa akan datang – satu risiko yang besar untuk diambil mudah oleh sesebuah IPT

IPTS yang memulakan satu  program pengajian baru ada di antaranya yang menawarkan pada kadar yuran yang lebih rendah untuk menarik bilangan pelajar menyertainya kerana pelajar mungkin kurang tertarik kepada program yang belum mendapat akreditasi

Bagi program yang telah mendapat akreditasi, yang bolehlah digambarkan sebagai satu program pengajian yang cukup matang dikendalikan oleh sesebuah IPT. Yang mungkin juga akan seterusnya menyebabkan

  • Bilangan yang memohon ramai dan memerlukan kelayakan yang tinggi untuk layak memohon dan untuk berpeluang mendapat tempat
  • Yuran pengajian juga mungkin lebih tinggi daripada program yang hanya mendapat kelulusan

Namun tidaklah boleh dikatakan program yang telah mendapat akreditasi itu lebih baik berbanding program yang hanya mendapat kelulusan. Mungkin pelajar dan ibubapa perlu melihat dari aspek lain untuk membuat pertimbangan memilih, seperti faktor kemudahan yang disediakan, lokasi dan ada juga yang melihat keteguhan institusi – disokong di belakangnya oleh siapa – samada orang perseaorangan atau syarikat yang besar demi menjamin kelangsungan IPT berkenaan.

Share This:

Memilih Program Pengajian yang Sesuai

Ramai pelajar tanya macamana nak pilih program pengajian yang sesuai untuk di pohon.

HANYA BEBERAPA LANGKAH MUDAH

Pertama sekali pelajar sendiri kena tahu dia nak jadi apa. Apa nama jawatan yang ingin disandangnya bila tamat belajar nanti.

Untuk jawatan dalam sektor awam@kerajaan yang bertaraf pegawai dengan kelayakan ijazah sarjana muda, pelajar boleh rujuk ke ke portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di
http://www.spa.gov.my/web/guest/deskripsi-tugas/ijazah

Ada terdapat 83 jawatan untuk kelayakan ijazah sarjana muda. Lihatlah pada setiap jawatan yang ada di dalamnya maklumat
– kelayakan akademik
– gaji
– deskripsi tugas

Gunakanlah maklumat kelayakan akademik itu sebagai sasaran pilihan program pengajian yang pelajar perlu memohon.

Bagi lepasan SPM catkan kelayakan yang dieperlukan dan rujuk ke epanduan UPU untuk syarat kelakan ke program ijazah tersebut untuk mengetahui laluan kemasukan ke program ijazah tersebut melalui asasi / matrikulasi / STPM / Diploma – dan inilah program pengajian yang pelajar perlu memohonn (bagi lepasan SPM)

Share This:

Peluang Melanjutkan Pengajian untuk Pelajar Aliran Sastera (SPM)

Pelajar aliran sastera SPM tidak perlu rasa rendah diri kerana ada 14 program asasi dan 1 program ijazah sarjana muda yang yang ditawarkan di IPTA yang boleh dipohon.

Namun jika pelajar aliran sastera sendiri yang meletakkan diri mereka di tahap yang lebih rendah (berbanding pelajar aliran sains) maka peluang yang ada ini pasti akan direbut oleh pelajar dari aliran sains yang sepatutnya memohon ke program lain yang lebih khusus kepada pelajar aliran sains

1. Asasi TESL UiTM
2. Asasi Undang-undang KPM/UITM
3. Asasi Undang-undang UiTM
4. Asasi Pengajian Islam UM
5. Tamhidi Perakaunan & Muamalat USIM
6. Tamhidi Syariah & Undang-undang USIM
7. Asasi Pengurusan UUM
8. Asasi Sains Kemanusiaan UIAM*
9. Asasi Bahasa Inggeris UIAM
10. Asasi Bahasa Arab UIAM
11. Asasi Ekonomi & Sains Pengurusan UIAM
12. Asasi Senibina & Rekabentuk Alam Sekitar
13. Asasi Undang-Undang UIAM
14. Asasi Pengurusan & Strategik UPNM
15. Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina UiTM

Dan semua program ini juga tidak memerlukan pelajar untuk mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan sebagai syarat

*Program Asasi Sains Kemanusiaan UIAM adalah khusus untuk hanya pelajar aliran sastera(SPM) sahaja yang layak memohon

Wahai pelajar-pelajar aliran sastera, anda juga ada peluang untuk ke program asasi atau untuk terus ke program ijazah sarjana muda

Share This:

Program Khas Halatuju Pendidikan Selepas SPM


PROGRAM KHAS HALATUJU PENDIDIKAN SELEPAS SPM
(di lokasi anda ~ selepas keputusan SPM2016 di umumkan)

KANDUNGAN PROGRAM

  1. Penerangan tentang pilihan laluan pendidikan selepas SPM
  2. Panduan untuk pelajar untuk membuat pilihan bidang, program & IPT
  3. Pendedahan tentang beberapa bidang kerjaya terpilih
  4. Proses permohonan & kriteria pemilihan ke institusi awam (syarat kelayakan & meritokrasi)
  5. Pembiayaan Pendidikan Tinggi
  6. Sesi soal-jawab & perbincangan bersama pelajar (dan ibu bapa jika ada)

Kepada Sekolah; PIBG; Organisasi; NGO; Pertubuhan; Persatuan Penduduk; Kariah Masjid dll. yang berminat untuk menganjurkan program ini di lokasi anda boleh menghubungi saya (Mustaffa Abdullah) di talian 017 8808 718 (voice/ sms/ whatsApp/ Telegram) untuk maklumat lanjut.

Share This:

Panduan dari tamat Diploma untuk terus ke Ijazah Sarjana Muda

Pelajar-pelajar IPT (IPTA atau IPTS) yang kini berada di semeser akhir pengajian diploma yang akan tamat pengajian sekitar bulan April 2017 nanti; Dan bercadang untuk memohon terus ke pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di IPTA bagi kemasukan September 2017; Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian – berdasarkan kepada pelajar yang berada di dalam situasi yang sama pada tahun lepas.

  1. Pastikan anda mencapai keputusan yang sebaik mungkin kerana berdasarkan tahun 2016 lalu kebanyakkan pelajar yang berjaya mendapat tempat adalah yang memperolehi CGPA 3.00 ke atas
  2. Pastikan anda tidak mempunyai sebarang hutang dengan pihak IPT tempat anda belajar yang boleh melambatkan anda untuk mendapatkan keputusan peperiksaan akhir (atau keputusan keseluruhan pengajian) dan juga untuk mendapatkan transkrip keputusan penuh pengajian. Transkrip bukan slip keputusan setiap semester tetapi satu cetakan khas yang mengandungi keseluruhan keputusan peperiksaan setiap semester pengajian pelajar dari semester 1 hingga semester terakhir. Pihak IPT biasanya boleh menahan pelajar daripada memperolehi transkrip ini jika pelajar masih berhutang dengan IPT berkenaan. Hutang boleh jadi dalam berbagai bentuk selain daripada yuran. Ianya mungkin datang daripada buku perpustakaan yang tidak dikembalikan, dsb..
  3. Pastikan anda mendapatkan transkrip keputusan ini dengan seberapa segera yang boleh – selepas keputusan peperiksaan semester akhir diumumkan.Transkrip hanya akan dikeluarkan jika pelajar telah lulus keseluruhan program pengajian – lulus semua subjek yang diambil dari semester 1 sehingga semester terakhir dan layak bergraduat. Biasanya akan tercetak pada slip keputusan peperiksaan semester terakhir dengan perkataan bergraduat, tamat pengajian atau seumpamanya – bukan lagi lulus sebagaimana pelajar terima pada semester-semester pengajian sebelumnya
  4. Memohonlah seperti biasa walaupun pada hakikatnya nampak macam tak logik seperti contohnya pada tahun 2016 lalutarikh tutup permohonan – 4 April 2016
    tarikh@hari terakhir peperiksaan – 14 April 2016yang secara logiknya pelajar TIDAK LAYAK memohon, TETAPI memohonlah sahaja seperti biasa, Walaupun permohonan tidak lengkap kerana tiada transkrip keputusan keseluruhan pengajian
  5. Keputusan permohonan akan diumumkan sekitar awal bulan Ogos (seperti mana pada tahun lepas) Pemohon dari kalangan pelajar semester akhir ini akan menerima keputusan gagal dalam permohonan – jangan panik sebab anda memang patut gagal pun sebab tidak melengkapkan permohonan dengan menghantar transkrip keputusan pengajian diploma
  6. Pelajar yang gagal akan dibenarkan membuat rayuan. Selain daripada menyempurnakan proses rayuan secara dalam talian (online) melalui portal UPU bersama-sama dengan transkrip keputusan , Pelajar perlu menghantar salinan bercetak kepada IPTA berkenaan. Sebaiknya selain daripada menghantar secara online kalau boleh hantar rayuan bersama transkrip keputusan yang telah diperolehi terus ke pejabat pendaftar atau bahagian pengambilan pelajar di IPTA berkenaan

Di sinilah pentingnya pelajar mesti mendapatkan transkrip keputusan peperiksaan sebaik sahaja keputusan peperiksaan semester akhir di umumkan. Tempoh masa yang ada sangat kritikal, malah kalau pelajar gagal dalam satu mata pelajaran dan terpaksa menduduki peperiksaan tambahan (supllementary examination) untuk bergraduat pun boleh menjejaskan peluang sekiranya keputusan diumumkan selepas tempoh rayuan. Malah jika masa yang ada suntuk pun mungkin boleh juga menjejaskan peluang, seperti contohnya pelajar hanya memperolehi keputusan tamat pengajian dalam tempoh rayuan UPU…. kadang-kadang agak susah juga bagi pihak IPT untuk mengeluarkan trasnkrip kerana ianya perlu dibuat semakan dan setelah dicetak memerlukan beberapa tandatangan untuk menjadikannya sah.

Hanya sekadar pandangan berdasarkan pengalaman tahun lepas sekiranya keadaan, sistem dan keseluruhannya pada tahun ini sama seperti tahun lepas.

Maklumat ini juga mungkin tidak terpakai untuk pelajar yang mengikuti pengajian diploma dan memohon melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di IPT yang saya. Contohnya seperti pelajar-pelajar UiTM yang memohon melalui proses ‘penerapan’ – yakni permohonan secara dalaman tidak melalui UPU.

Baca juga pengalaman dari perbincangan di dalam group facebook Halatuju Pendidikan Selepas SPM tentang bagaimana pelajar yang tamat pengajian diploma pada April 2016 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah sarjana muda untuk kemasukan September 2016 di https://www.facebook.com/groups/halatuju/permalink/1325306247510374/

Wallahu’alam

Share This:

Program-program Asasi di IPTA

Ramai masih beranggapan bahawa program asasi hanya untuk pelajar aliran sains sahaja adalah suatu yang tidak tepat

Terdapat 39 program asasi di IPTA (USIM menggunakan nama Tamhidi)

  • 24 program untuk pelajar aliran sains sahaja
  • 2 program untuk pelajar aliran sastera sahaja
  • 14 program untuk pelajar aliran sains & sastera

atau jika dikumpulkan ada 16 program (38%)  yang pelajar aliran sastera layak memohon dan 26 program (62%) untuk pelajar aliran sains memohon.

Selain daripada keperluan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan pelajar aliran sastera ada kelebihan berbanding pelajar aliran sains untuk mendapat tempat di dalam program asasi yang layak dipohon oleh pelajar aliran sains dan sastera berdasarkan markah merit.

5 mata pelajaran utama kiraan merit pelajar aliran sastera
Bahasa Melayu; Matematik; Sains; Sejarah & PI/PSI/PQS

5 mata pelajaran utama kiraan merit pelajar aliran sains
Matematik; Matematik Tambahan, Fizik; Kimia; Biologi(atau mata pelajaran lain yang menggantikan biologi seperti Prinsip Perakaunan, Lukisan Kejuruteraan, Perdagangan, Ekonomi Asas dll..)

dan mana-mana 3 mata pelajaran terbaik lain

Namun apa yang terjadi masih lebih ramai pelajar aliran sains mendapat tempat di program asasi yang pelajar aliran sastera pun layak memohon sedangkan tidaklah begitu sukar untuk pelajar aliran sastera untuk memenuhi syarat dan mendapat gred yang cemerlang di dalam mata pelajaran utama untuk pengiraan merit bagi pelajar aliran sastera berbanding mata pelajaran utama untuk pelajar aliran sains

PROGRAM UNTUK PEMOHON BUMIPUTERA
DAN PEMOHON BUKAN BUMIPUTERA

Program pengajian yang terbuka kepada Bumiputera sahaja
•Semua Program Asasi di UiTM;
•Semua Program Asasi UIAM
•Asasi Sains UM; UNIMAS & UMS

Program pengajian yang terbuka kepada Bumiputera dan Bukan Bumiputera
•Asasi Pengajian Islam UM
•Asasi Sains Pertanian UPM
•Asasipintar UKM
•Asasi Pengurusan UUM
•Tahmidi USIM
•Semua Asasi UPNM;

Share This: