D(47)

Ramai yang mungkin tertanya-tanya apakah yang saya maksudkan dengan D(47) ini. Ianya bukanlah satu kod atau nama klon baru durian seperti D24 dan lain-lain.

D(47) adalah gambaran sekiranya pelajar memperolehi markah 47% di dalam mata pelajaran peperiksaan SPM – yang secara khususnya saya ingin tekankan adalah mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

Kenapa 47%? Sebabnya adalah kalau pelajar memperolehi markah 48% atau 49% kemungkinan besar ianya akan dinaikkan menjadi 50% dan pelajar akan mendapat gred C di dalam mata pelajaran berkenaan. Tetapi kalau pelajar hanya memperolehi 47% markah ianya agak sukar untuk guru menaikkannya menjadi 50% maka kekallah pelajar dengan gred D di dalam mata pelajaran Matematik dan Bahaas Inggeris ini.

Dengan mendapat gred D di dalam mata pelajaran matematik, walaupun pelajar melannjutkan pengajian ke tingkatan 6 untuk menduduki STPM dengan mendapat PNGK 4.00 sekalipun, pelajar tidak layak untuk memohon ke semua program ijazah sarjana muda pendidikan (di dalam semua bidang@mata pelajaran pengkhususan) yang ditawarkan di IPTA dan banyak lagi program ijazah sarjana muda yang meletakkan syarat pencapaian kepujian (gred C) di dalam mata pelajaran Matematik di peringkat SPM.

Tanpa mendapat kepujian (gred C) di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris pelajar juga sukar untuk mendapat tempat seperti ke program ijazah sarjana muda perakaunan di UiTM walaupun berjaya melanjutkan pengajian ke program diploma akauntansi di politeknik yang tidak meletakkan syarat kepujian Bahasa inggeris; walaupun pelajar tamat diploma dengan CGPA 4.00 sekalipun. Malah untuk ke program diploma perakaunan di UiTM pun memerlukan pemohon memenuhi syarat minima gred B di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan gred C di dalam mata pelajaran Matematik

….dan anda mungkin akan menyesalinya seumur hidup anda kerana terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi seorang guru atau bidang-bidang lain, hanya disebabkan anda kekurangan 3 MARKAH sahaja untuk mencapai markah 50% dan mendapat kepujian gred C di dalam mata pelajaran matematik (SPM)

dan tidak terbayang bagaimanalah sekiranya lembaga peperiksaan menukar format keputusan peperiksaan SPM dengan meletakkan markah bersama gred setiap mata pelajaran yang diambil yang akan terpapar seperti

1449 Matematik…………. D(47)

jadi dengan masa yang berbaki sehingga ke peperiksaan untuk mata pelajaran Matematik SPM pada hari Isnin 13 November 2017, anda masih ada masa untuk berusaha untuk mensasarkan mendapat markah yang lebih tinggi (60% ke atas) dan menjauhkan daripada menerima keputusan yang mungkin sangat mengecewakan anda sendiri nanti

Share This: