MATEMATIK TAMBAHAN

Ramai yang mesej bertanya tentang kepentingan mata pelajaran Matematik Tambahan ini di dalam peperiksaan SPM – adakah ianya penting dan mesti diambil oleh setiap pelajar.

Ada 2 situasi pengambilan mata pelajaran matematik tambahan (SPM)

1. UNTUK PELAJAR CALON SPM ALIRAN SAINS

Pelajar calon SPM dari aliran sains tidak ada pilihan mesti mendaftar mengambil mata pelajaran matematik tambahan untuk melengkapkan lima (5) mata pelajaran utama pengiraan merit (selain Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi atau Mata pelajaran lain yang menggantikan Biologi).

Walaupun ada program pengajian asasi dan diploma di beberapa buah IPTA yang tidak meletakkan syarat mata pelajaran matematik tambahan sebagai salah satu daripada syarat kelayakan minima untuk memohon, mata pelajaran matematik tambahan akan tetap menjadi penentu peluang untuk pelajar mendapat tempat kerana ianya adalah salah satu (1) daripada lima (5) mata pelajaran utama pengiraan merit kemasukan ke IPTA.

Begitu juga sekiranya pelajar bercadang untuk memohon ke program bukan sains yang mana syaratnya tidak melibatkan mata-mata pelajaran sains tulen (Fizik, Kimia & Biologi) dan Matematik Tambahan; Mata-mata pelajaran tersebut (Matematik Tambahan, Matematik, Fizik, Kimia & Biologi) tetapi penting kerana merit dikira berdasarkan aliran pelajar semasa menduduki SPM, bukan aliran atau bidang pengajian yang dipohon di IPTA.

2. UNTUK PELAJAR CALON SPM ALIRAN SASTERA

Satu kelebihan pelajar aliran sastera biasanya yang di dalam kelas Perakaunan yang digalakkan untuk mendaftar mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan di dalam peperiksaan SPM. Dengan hanya mendapat sekurang-kurangnya gred C di dalam mata pelajaran tersebut sudah memadai untuk berberpeluang medapat tempat di program matrikulasi perakaunan atau matrikulasi perakaunan professional (dengan syarat memenuhi syarat-syarat lain).

Catatan pengalaman bersama lepasan SPM 2016 & 2017 merekodkan ada terdapat pelajar aliran sastera yang mendaftar mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan dan walau pun hanya mendapat gred D di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan (dengan memperolehi gred A di dalam mata pelajaran Matematik dan gred A & B di dalam mata pelajaran Sains dan Prinsip Perakaunan) – mereka berjaya mendapat tempat di program Matrikulasi Perakaunan – dalam konteks ini tak rugi mendaftar mengambil Matematik Tambahan kerana ianya membuka peluang yang lebih baik melalui pengajian matrikulasi*

Selain itu ianya tidak akan memberi kesan kepada pelajar dalam 2 keadaan

Sekalipun jika pelajar aliran sastera yang gagal di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, ianya tidak akan menjejaskan peluang untuk pelajar memohon ke IPTA kerana mata pelajaran Matematik Tambahan bukanlah mata pelajaran utama untuk pengiraan merit (meritokrasi) ke IPTA – Di dalam konteks ini pun ianya tidaklah merugikan pelajar yang mendaftar mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan

Namun untuk beberapa program pengajian diploma di UiTM yang terbuka untuk pelajar aliran sastera untuk memohon memerlukan pelajar calon SPM mendaftar mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan di dalam syaratnya.

DIPLOMA SAINS KOMPUTER

  • Memerlukan pemohon memperolehi Gred kepujian (C) di dalam mata pelajaran (1)Matematik; (2)Bahasa Inggeris.
  • Dua (2) gred kepujian (C) di dalam mata pelajaran (3)Matematik Tambahan/ Fizik/ Kimia/ Biologi/ Sains/ Sains Tambahan/ ICT.
  • Satu(1) gred (C) di dalam mana-mana (4)mata pelajaran lain
    (untuk pelajar aliran sastera hanya ada mata pelajaran Matematik Tambahan dan Sains/ Sains Tambahan sahaja yang boleh memenuhi syarat ini)

DIPLOMA SAINS MATEMATIK & DIPLOMA STATISTIK

  • Memerlukan pemohon memperolehi Gred kepujian (C) di dalam mata pelajaran (1)Matematik; (2)Bahasa Inggeris; (3)Matematik Tambahan dan (4)Fizik/ Kimia/ Biologi/ Sains/ Sains Tambahan

DIPLOMA SAINS AKTUARI

  • Memerlukan pemohon memperolehi Gred kepujian (C) di dalam mata pelajaran (1)Matematik; (2)Bahasa Inggeris; (3)Matematik Tambahan dan (4)Fizik/ Kimia/ Biologi/ Sains/ Sains Tambahan.

Namun jika pelajar tidak bercadang untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang-bidang sains, kejuruteraan atau tidak ingin merebut peluang belajar di matrikulasi, maka tidak perlulah untuk mendaftar mengambil mata pelajaran matematik. Tetapi janganlah sampai menjadikan ini sebagai alasan untuk mengelak daripada mendaftar mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan atau sebab untuk tidak ke Aliran Sains

* APA KELEBIHAN BELAJAR DI MATRIKULASI

Pengajian Matrikulasi adalah salah satu pengajian Pra-Universiti seperti juga pengajian Asasi, A-Level, Foundation (IPTS) dan lain-lain. Pengajian STPM dan STAM juga sebenarnya di dalam kategori pengajian Pra-Universiti. Pengajian Pra-Universiti adalah pengajian 1 – 2 tahun untuk lepasan SPM untuk melayakkan pelajar setelah lulus dengan memenuhi syarat yang ditetapkan untuk terus ke tahun 1 pengajian Ijazah Sarjana Muda (antara 3, 4 atau 5 tahun)

Ianya lebih menjimatkan dari segi masa@tempoh pengajian ke ijazah sarjana muda dan kos pengajian berbanding pengajian diploma

MASA@TEMPOH PENGAJIAN

Dari segi masa pelajar akan mengikuti pengajian matrikulasi selama 1 tahun dan terus ke tahun 1 pengajian Ijazah Sarjana Muda.

Untuk pengajian Bidang Perakaunan contohnya:
Matrikulasi Perakaunan (1 thn)
+ Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UiTM (4 thn)
= Jumlah 5 tahun

Diploma Perakaunan UiTM (2 ½ thn)
+ Ijazah Sarjana Muda perakaunan UiTM (3 – 4 thn)
= Jumlah Tempoh Pengajian 5½ – 6½ thn

Diploma Akauntansi Politeknik (3 thn)
+ Ijazah Sarjana Muda perakaunan UiTM (3 – 4 thn)
= Jumlah Tempoh Pengajian 6 – 7 thn

Perlu difahami Kemasukan ke pengajian ijazah sarjana muda bagi lepasan diploma bukanlah secara automatic akan dapat terus ke tahun 2 atau seumpamanya, tetapi bergantung kepada pencapaian pelajar di peringkat diploma yang akan menentukan jumlah pengecualian yang pihak universiti boleh berikan untuk pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Peraturan MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) hanya menghadkan pengecualian atau disebut sebagai perpindahan kredit (credit transfer) tidak lebih daripada 30% daripada keseluhuhan kandungan pengajian ijazah sarjana muda.

KOS PENGAJIAN

Pengajian di Matrikulasi jauh lebih murah iaitu hanya sebanyak RM546.00 sahaja dan pelajar yang layak (pendapatan keluarga kurang dari RM10,000.00/bulan) layak mendapat elaun sebanyak RM250.00/bulan untuk 5 bulan bagi 1 semester untuk 2 semester yang berjumlah RM2,500.00 sepanjang tempoh 1 tahun pengajian. Jadi pelajar tidak perlu membuat pinjaman pendidikan semasa pengajian di matrikulasi.

Pelajar hanya perlu mengambil pinjaman apabila menyertai pengajian ijazah sarjana muda sahaja

Untuk pengajian diploma, agak sukar untuk membandingkan kadar yuran yang berbeza antara IPT. Tetapi tetapi satu jumlah yang tetap yang boleh dijadikan ukuran adalah jumlah pinjaman PTPTN. Untuk pengajian diploma di IPTA bagi semua bidang pengajian adalah sebanyak RM4,750.00/tahun atau berjumlah RM14,250.00 (untuk pengajian 3 tahun). Manakala di IPTS pinjaman adalah sebanyak RM6,800.00/tahun atau berjumlah RM20,400.00 (untuk pengajian 3 tahun)

Manakala jumlah pinjaman untuk pengajian ijazah sarjana muda adalah berbeza antara bidang dan IPT (IPTA/IPTS). Contohnya untuk pengajian Ijazah Perakaunan (bukan sains) adalah sebanyak RM6,180.00/tahun atau berjumlah RM24,720.00 untuk 4 tahun pengajian; Manakala di IPTS jumlah pinjaman adalah sebanyak RM13,600.00/tahun atau berjumlah RM54,400.00 (untuk pengajian 4 tahun)

Jumlah keseluruhan pinjaman Diploma(3 thn) & Ijazah Sarjana Muda (4 thn )
IPTA: RM14,250.00 + 24,720.00 = RM38,970.00
IPTS: RM20,400.00 + 54,400.00 = RM74,800.00

(Jumlah sebenar mungkin kecil sedikit sekiranya pelajar memperolehi pencapaian diploma yang cemerlang dan melayakkanya mendapat pengecualian sebahagian daripada tempoh pengajian sebenar)

Namun yang pasti pelajar yang mengikuti pengajian matrikulasi dapat jimat sebanyak RM14,250.00 yuran pengajian diploma selain berpeluang mendapat elaun sebanyak RM2,500.00. Masih ada RM1,954.00 setelah RM2,500.00 di tolak RM546.00 yuran matrikulasi)

Dan untuk mendapatkan penjimatan masa dan kos pengajian ini, harganya yang perlu dibayar oleh pelajar adalah dengan mendaftar & mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan untuk peperiksaan SPM dan berusaha untuk memperolehi minima gred kepujian (C) untuk layak ke matrikulasi.

Share This: