Pengiktirafan, Kelulusan, Akreditasi – KPTM, KPM, JPA, MQA dll..

Jangan mudah terkeliru dengan kenyataan-kenyataan yang menggunapakai nama-nama kementerian, Jabatan atau agensi tertentu untuk satu-satu program pengajian.

contohnya

  • Program yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia / Kementerian Pendiikan Malaysia
  • Program yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
  • Program yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Kedua-dua kementerian ini tidak memberikan kelulusan terhadap mana-mana program pengajian secara langsung tetapi melalui agensi di bawahnya iaitu Agensi Kelayakan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MQA (Malaysian Qualification Agency), yang dahulunya pernah menggunakan nama Lembaga Akreditasi Negara (LAN). MQA pula tidak mengiktiraf mana-mana IPT tetapi memberikan kelulusan dan akreditasi bagi setiap program pengajian yang ditawarkan oleh sesebuah IPT.

Peranan Setiap Agensi 

MQA memberikan kelulusan kepada sesebuah IPT untuk memulakan satu-satu program pengajian. Kelulusan diberi berdasarkan kepada kesediaan IPT berkenaan untuk memulakan program pengajian. Persediaan dinilai berdasarkan berbagai aspek dari segi persediaan kurikulum pengajian, tenaga pengajar, kemudahan bilik kuliah, makmal dan lain-lain sekurang-kurangnya untuk 2 semester pertama bersama dengan unjuran untuk semester pengajian berikutnya sehinggalah semester terakhir pengajian. MQA akan melantik panel untuk melawat IPT berkenaan untuk menilai kesediaan IPT memulakan program tersebut dan IPT hanya boleh membuat pengambilan pelajar setelah mendapat kelulusan dari MQA.

Kelulusan ini juga dikenali sebagai Akreditasi Provisional (Provisional Accreditation) – Yang bermakna program ini belum mendapat akreditasi sepenuhnya.

Setelah pengambilan pelajar dibuat, panel MQA akan datang melawat ke IPT berkenaan untuk memastikan program telah dijalankan sebagaimana sepatutnya dan memeriksa persediaan IPT untuk memulakan semester berikutnya bagi kumpulan pertama pelajar program berkenaan. Lawatan ini akan dilakukan pada setiap semester pengajian bagi pelajar kumpulan pertama ini; Jadi IPT hendaklah memastikan segala keperluan program sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen program dipatuhi sepenuhnya serta mengambil tindakan sewajarnya diatas apa juga teguran dan cadangan yang diberikan oleh panel MQA yang melawat IPT. Panel MQA juga akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan pelajar progam berkenaan sahaja (tanpa kehadiran kakitangan IPT) untuk mendapatkan maklum balas dari pelajar jika ada perkara yang perlu diberikan perhatian untuk disalurkan kepada pihak IPT oleh panel MQA tersebut.

Setelah memenuhi segala keperluan di sepanjang pengendalian program dari semester 1 sehinggalah ke semester terakhir, panel MQA akan membuat pengesyoran kepada IPT berkenaan untuk mengemukakan permohonan akreditasi penuh (full accreditation) pada semester terakhir pengajian pelajar kumpulan pertama program pengajian berkenaan. Jika semua keperluan dipenuhi maka Sijil Akreditasi bagi program berkenaan akan diperolehi sebelum pelajar kumpulan pertama bergraduat – bermakna pelajar yang bergraduat ini; Bergraduat dari program pengajian yang telah mendapat perakuan akreditasi (penuh) dari MQA. Program yang telah mendapat perakuan akreditasi dari MQA akan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia atau MQR (Malaysian Qualification Register) di http://www2.mqa.gov.my/mqr/. Pengguna telefon pintar boleh memuat-turun aplikasi mudahalih MQR untuk diguna di telefon pintar

Dalam bahasa yang mudah, program yang telah mendapat akreditasi adalah program pengajian yang telah terbukti sempurna dijalankan sebagaimana sepatutnya ia dijalankan. 

Akreditasi yang diberikan untuk program berkenaan dan bukan kepada keseluruhan institusi yang mungkin boleh dikelirukan dengan kenyataan seperti semua program telah mendapat pengiktirafan MQA (sedangkan dalam keadaan sebenar ianya tidak begitu – sepatutnya mendapat kelulusan atau akreditasi dari MQA)

Peranan Kementerian Pendidikan Tinggi pula adalah untuk meluluskan lesen bagi sesebuah IPT untuk beroperasi. Jadi adalah tidak mungkin dengan mudahnya ada IPT yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana untuk beroperasi di sesebuah premis, bangunan dan seumpamanya, IPT tersebut perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, dan agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Bomba, Kesihatan dan lain-lain. Yang menjadikan mustahil untuk berlakunya satu bentuk penipuan seperti adanya sebuah bangunan dengan papan tanda nama institusi untuk beroperasi.

JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tidak lagi memberikan apa-apa pengiktirafan kepada mana-mana program pengajian yang ditawarkan oleh IPT (IPTA/IPTS) dalam negara kerana peranan tersebut telah diambil alih oleh Agensi Kelayakan Malaysia; Yang bermakna semua program pengajian yang diluluskan dan mendapat akreditasi MQA adalah diiktiraf oleh JPA; JPA tidak memberikan pengiktirafan secara langsung kepada mana-mana program pengajian atau IPT.

JPA pernah diberi tanggung-jawab untuk menyediakan senarai program pengajian di universiti-universiti luar negara yang diiktiraf, namun kini peranan tersebut telah ditempatkan di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang boleh disemak di laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam di https://app.mohe.gov.my/iktiraf/ 

Apa yang pelajar, ibubapa dan guru perlu tahu

Apabila pelajar merancang untuk menyambung pengajian ke IPT (IPTA/IPTS) apa yang penting diketahui adalah samada program pengajian yang ingin dipohon telah mendapat kelulusan atau tidak atau telah mendapat akreditasi. Tidak mudah untuk sesebuah IPT untuk menipu pelajar dengan menawarkan program pengajian yang tidak mendapat kelulusan atau akreditasi, kerana hanya program yang telah mendapat kelulusan atau akreditasi sahaja yang melayakkan pelajarnya untuk mendapatkan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MARA atau agensi lain.

Jadi tidak timbul cerita seperti masuk belajar di sebuah IPT, ambil pinjaman PTPTN tetapi program tidak diiktiraf, duit pinjaman lesap dan pelajar terpaksa menanggung kerugian untuk membayar balik pinjanan PTPTN – ini tidak mungkin berlaku.

Adalah merupakan satu kesalahan besar yang boleh menyebabkan ketua eksekutif IPT berkenaan boleh dipenjarakan sekiranya gagal menjelaskan denda kesalahan melakukan perbuatan ini yang sangat berat.

Pelajar dan ibubapa berhak untuk meminta untuk mendapatkan maklumat tentang kelulusan atau akreditasi program yang ingin dipohon daripada IPT berkenaan. Untuk program pengajian yang telah mendapat akrediasi, ianya boleh disemak di laman web Daftar Kelayakan Malaysia

Antara program yang mendapat kelulusan dan program yang mendapat akreditasi

Setelah dijelaskan di atas, mungkin timbul persoalan bagi pelajar dan ibu bapa untuk memilih samada program yang mendapat kelulusan atau pun program yang telah mendapat akreditasi dari MQA.

Dari segi persediaan IPT, program yang hanya mendapat kelulusan akan meletakkan sesebuah IPT akan sentiasa bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan yang perlu bagi memenuhi apa juga syarat yang ditetapkan untuk program tersebut mendapat akreditasi. Secara tidak langsung pelajar akan dapat menikmati segala kemudahan yang terbaik diberikan oleh IPT berkenaan.

IPT biasanya tidak akan mengambil risiko untuk tidak bersungguh-sungguh mendapatkan akreditasi kerana jika gagal mendapatkan akreditasi tersebut ianya bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi reputasi IPT berkenaan pada pandangan umum tetapi juga akan turut menjejaskan pengambilan pelajar di masa akan datang – satu risiko yang besar untuk diambil mudah oleh sesebuah IPT

IPTS yang memulakan satu  program pengajian baru ada di antaranya yang menawarkan pada kadar yuran yang lebih rendah untuk menarik bilangan pelajar menyertainya kerana pelajar mungkin kurang tertarik kepada program yang belum mendapat akreditasi

Bagi program yang telah mendapat akreditasi, yang bolehlah digambarkan sebagai satu program pengajian yang cukup matang dikendalikan oleh sesebuah IPT. Yang mungkin juga akan seterusnya menyebabkan

  • Bilangan yang memohon ramai dan memerlukan kelayakan yang tinggi untuk layak memohon dan untuk berpeluang mendapat tempat
  • Yuran pengajian juga mungkin lebih tinggi daripada program yang hanya mendapat kelulusan

Namun tidaklah boleh dikatakan program yang telah mendapat akreditasi itu lebih baik berbanding program yang hanya mendapat kelulusan. Mungkin pelajar dan ibubapa perlu melihat dari aspek lain untuk membuat pertimbangan memilih, seperti faktor kemudahan yang disediakan, lokasi dan ada juga yang melihat keteguhan institusi – disokong di belakangnya oleh siapa – samada orang perseaorangan atau syarikat yang besar demi menjamin kelangsungan IPT berkenaan.

Share This: