PILIHAN-PILIHAN SELEPAS SPM

Pada asasnya hanya ada 2 pilihan untuk pelajar selepas SPM

  • Berhenti Belajar; Atau
  • Melanjutkan Pengajian

Berhenti Belajar

Tidak mustahil ada yang mungkin terpaksa berhenti belajar disebabkan seperti untuk terus menyertai dunia pekerjaan disebabkan kesempitan hidup; Memulakan atau meneruskan perniagaan keluarga dan mungkin juga disebabkan untuk berumah-tangga.

Apa pun pilihan pelajar, buatlah persediaan yang sewajarnya. Tidak mudah untuk terus menyertai dunia pekerjaan atau untuk terlibat dalam perniagaan terus selepas SPM. Buatlah persediaan seperti mengikuti kursus-kursus jangka pendek seperti ada yang ditawarkan di giat mara, IKBN dan lain-lain institusi latihan kemahiran

Malah untuk berumah-tangga sekalipun seorang itu perlu membuat persediaan yang sebaiknya

Melanjutkan Pengajian

Untuk melanjutkan pengajian selepas SPM, bolehlah dibahagikan kepada

  1. Program Sijil / Diploma
  2. Program Pra-Universiti – untuk seterusnya ke Ijazah Sarjana Muda
  3. Program Professional (luar negara)

Program Diploma & Sijil

Program diploma dan sijil adalah bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan kelayakan untuk membolehkan mereka terus menyertai dunia pekerjaan setelah tamat (bergraduat) dari pengajian.

Lepasan sijil dan diploma juga boleh menggunakan kelayakan tersebut untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dari Sijil ke Diploma dan dari Diploma ke Ijazah Sarjana Muda. Namun perlu dan mesti diingat ianya bukanlah laluan yang secara automatik membolehkan pelajar ke peringkat seterusnya. Pelajar MESTI memperolehi pencapaian yang memenuhi dan melepasi syarat untuk ke keperingkat seterusnya. Contohnya ada program ijazah sarjana muda yang menetapkan tahap pencapaian berdasarkan kepada CGPA yang dicapai untuk layak ke pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda.

Jika pelajar menganggap pengajian diploma itu mudah, lalu mengambil mudah pengajian diploma yang menyebabkan pencapaian yang rendah berkemungkinan besar pelajar tidak akan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Program Pra-Universiti

Ada pelajar yang menganggap pengajian pra-universiti adalah pengajian tingkatan 6 sahaja kerana biasanya pusat pengajian tingkatan 6 di sekolah biasanya dinamakan sebagai pengajian pra-universiti.

Program pengajian pra-universiti sebenarnya merangkumi program-program Asasi IPTA@UA (atau Tamhidi di USIM); Program Matrikulasi KPM; Foundation (IPTS); STPM/STAM; A-Level; AUSMAT(Australian Matriculation); IB (International Baccalaureate) dan lain-lain program seumpamanya.

Program pra-universiti biasanya akan mengambil masa antara 1 – 2 tahun selepas SPM yang selepas tamat serta lulus dengan pencapaian yang memenuhi syarat akan dapat memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Program Professional Luar Negara

Antara contoh beberapa program professional luar negara yang terkenal adalah seperti:

  • CAT – Certified Accounting Technician
  • ACCA – Association of Chartered Certified Accountants
  • CIMA – Chartered Institute of Management Accountants
  • ICSA –  Institute of Chartered Secretaries and Administrator

Program-program ini adalah berasal dan berasas di United Kingdom yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Apa yang penting untuk setiap pelajar di dalam membuat pilihan program yang terbaik bagi pelajar adalah bergantung kepada bidang pekerjaan cita-cita kerjaya yang pelajar ingin capai.

Jika pelajar mungkin tertanya-tanya, jadi apakah pilihan terbaik antara ketiga-tiga laluan antara program sijil dan diploma; Program pra-universiti atau Program professional luar negara; Jawapannya bergantung kepada apakah bidang cita-cita kerjaya yang pelajar ingin ceburi. Ada bidang kerjaya yang memerlukan kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Masters) malah ada yang memerlukan kelayakan Kedoktoran Falsafah (PhD); Namun ada juga yang hanya memerlukan kelayakan di peringkat Sijil atau Diploma sahaja yang sudah memadai

Untuk itulah sangat penting setiap pelajar mesti ada cita-cita kerjaya untuk dicapai bagi menentukan apakah laluan terbaik untuk disertai mengikutinya.

Share This: