Perancangan Untuk Melanjutkan Pengajian

Comments Off on Perancangan Untuk Melanjutkan Pengajian

Setiap pelajar (bersama dengan ibu bapa) sebaiknya mesti ada perancangan yang baik untuk melanjutkan pengajian yang sebenarnya boleh bermula dari peringkat rendah lagi; Sebab apa pun juga pilihan yang dibuat sekarang akan menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dibuat di peringkat seterusnya.

Contohnya pencapaian pelajar di peringkat persekolahan rendah boleh mempengaruhi peluang untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah rendah (tingkatan 1, 2 dan 3) dan seterusnya akan mempengaruhi perjalanan pendidikan seterusnya untuk samada ke tingkatan 4 dan 5 untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi pakej-pakej mata pelajaran STEM A, B, C atau pakej mata pelajaran Kemanusiaan dan Sastera Iktisas (KSI) – untuk seterusnya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/IPTS) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam/ Swasta (ILKA/ILKS); Atau memilih untuk ke Kolej Vokasional bagi mengikuti pengajian 2 tahun Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan seterusnya 2 tahun lagi untuk Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di dalam 8 bidang kemahiran menerusi 42 program Diploma Vokasional Malaysia – untuk seterusnya terus menyertai dunia pekerjaan atau untuk melanjutkan pengajian.

Apa pun pilihan ianya tidak lain daripada untuk memperolehi kelayakan yang diperlukan untuk menyertai dunia pekerjaan. Jadi kenapa tidak pelajar (bersama ibu bapa) merancang dari awal dengan meletakkan sasaran apakah cita-cita kerjaya yang ingin dicapai agar perancangan boleh dibuat dengan sebaik mungkin dan seawal mungkin.

Contohnya jika bercita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan. Kelayakan yang diperlukan untuk menjadi seorang doktor perubatan adalah

  • Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan
    Bachelor Medicine, Bachelor Surgery (MBBS)
  • Doktor Perubatan
    Medical Doctor (MD)

Dari sini bolehlah disemak

  • Institusi (IPTA/IPTS) yang ada menawarkan program pengajian MBBS atau MD ini; DAN
  • Apakah kelayakan yang diperlukan untuk memohon ke program MBBS atau MD ini

Jika kelayakan yang diperlukan untuk ke ijazah tersebut adalah dengan kelulusan dari program Asasi/ Matrikulasi/ STPM dalam jurusan/ aliran/ bidang sains maka pelajar juga perlu menduduki peperiksaan SPM di dalam aliran sains atau sekarang lebih tepat untuk disebut sebagai Pakej STEM A untuk layak ke Asasi/ Matrikulasi/ STPM dalam jurusan/ aliran/ bidang sains.

Untuk layak ke pakej STEM A di peringkat SPM; Pencapaian pelajar di tingkatan 1, 2 dan 3 sangat penting, kerana ianya akan secara langsung dan tidak langsung akan menentukan samada pelajar layak untuk ke Pakej STEM A atau tidak.

Ada yang berpendapat jika demikian, maka elok jugalah jika selepas menamatkan pendidikan rendah, pelajar terus di tempatkan di sekolah-sekolah terpilih seperti sekolah berasrama penuh bagi yang akan menyediakan pelajar secara khusus untuk ke aliran sains di tingkatan 4 dan 5 untuk menduduki peperiksaan SPM sebagai calon aliran sains (Pakej STEM A).

Begitulah pentingnya perancangan awal untuk melanjutkan pengajian yang boleh dimulakan seawal mungkin.

Namun tidaklah semua bidang memerlukan kelayakan di peringkat ijazah sarjana muda semestinya, ada juga bidang seperti bidang-bidang kemahiran yang ada di antaranya yang hanya memerlukan kelayakan di peringkat sijil atau diploma sahaja. Dan perlu juga diketahui ada bidang yang mungkin memerlukan kelayakan yang lebih tinggi – Sarjana (Masters) atau Kedoktoran Falsafah (PhD).

Pelajar (bersama ibu bapa) boleh memulakan dengan membuat penyelidikan awal melalui

  • Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di www.spa.gov.my
  • Portal carian pekerjaan seperti
    • www.myfuturejobs.gov.my
    • www.jobstreet.com.my

Untuk mendapatkan maklumat pekerjaan seperti

  • Nama Jawatan
  • Tugasan dalam pekerjaan
  • Kelayakan Akademik yang diperlukan
  • Tangga gaji; DAN
  • Lain-lain maklumat yang perlu diketahui pelajar sebelum menyertai pekerjaan tersebut – supaya tahu dengan jelas dari awal apakah deskripsi tugas dalam pekerjaan tersebut agar pelajar tidak membuat kesilapan di dalam memilih pekerjaan. Ada pelajar yang memilih pekerjaan hanya berdasarkan kepada nama pekerjaan yang menarik, tanpa mengetahui apakah tugasan apabila berkerja nanti.

Daripada maklumat yang diperolehi

  • Senaraikan sekurang-kurangnya 3 bidang pekerjaan yang ingin disertai sebagai Plan A, Plan B dan Plan C;
  • Untuk setiap pekerjaan, catatkan apakah kelayakan akademik yang diperlukan. Adakah ia memerlukan kelayakan Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Bachelor) atau setinggi kelayakan di peringkat Sarjana (Masters) atau Kedoktoran Falsafah (PhD)
  • Lanjutkan kajian dengan mengenal-pasti institusi yang ada menawarkan program pengajian di dalam setiap bidang kelayakan tersebut.
    • Untuk program pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bolehlah merujuk ke laman E-Panduan BPKP@UPU (Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar atau dahulunya dikenali sebagai UPU (Unit Pusat Universiti) di
      – https://online.mohe.gov.my/upu5/epanduan/index.php; ATAU
      – Memuat turun aplikasi UPU Pocket dari Google Play atau Apple Store
    • Untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta(ILKS) pelajar boleh merujuk
      – laman web institusi berkenaan
      – group facebook Informasi IPTS di https://www.facebook.com/groups/infoIPTs
      – membuat carian di laman Daftar Kelayakan Malaysia di https://www2.mqa.gov.my/mqr/
  • Dan lengkapkan kajian dengan mendapatkan apakah syarat kelayakan di peringkat SPM yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian ke program-program tersebut; Atau untuk ke program Asasi/ Matrikulasi/ Foundation(IPTS) jika kelayakan yang diperlukan adalah Ijazah Sarjana Muda