Pilihan Program Pengajian Selepas SPM

Comments Off on Pilihan Program Pengajian Selepas SPM

Untuk memudahkan kefahaman, pilihan program pengajian bolehlah dibahagikan kepada 3 pilihan

  1. Laluan Sijil, Pra-Diploma, Diploma, Ijazah Sarjana Muda
  2. Laluan Pra-Universiti (Asasi/ Matrikulasi/ STPM/ STAM/ A-Level/ IB/ Dll..
  3. Laluan Khas & Program Professional Luar Negara

Setiap pilihan yang dibuat akan memberi kesan dari segi tempoh pengajian pelajar yang juga tanpa disedari akan turut memberi kesan kepada kos@yuran pengajian yang pelajar terpaksa tanggung.

Namun tidak juga semestinya pelajar memilih laluan yang cepat semata-mata untuk memperolehi ijazah sarjana muda secepat mungkin seperti memilih laluan terus ke Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina di UiTM yang merupakan satu-satunya program ijazah sarjana muda yang boleh disertai terus selepas SPM (tanpa perlu melalui program pra-universiti(asasi/ matrikulasi)) kerana:

  • Pengajian di dalam bidang senibina memerlukan seorang yang betul-betul minat dalam bindang senibina atau pelajar mungkin akan gagal dalam pengajian yang sangat mencabar ini;
  • Selain itu, perlu juga difahami bahawa untuk menjadi seorang arkitek bertauliah dengan gelaran Ar. pada pangkal nama, seorang perlu memperolehi kelayakan Sarjana (Masters) dalam bidang senibina dengan lebih kurang 2 tahun pengalaman berkerja di firma arkitek bertauliah (perlu melengkapkan buku log amalan senibina) untuk layak mendaftar menduduki peperiksaan professional yang setelah lulus, barulah boleh menggunakan gelaran Ar. pada pangkal namanya;
    Namun bagi yang betul-betul minat tempoh masa yang lama bukanlah suatu halangan untuk melalui tempoh yang panjang untuk mencapai cita-cita kerjaya mereka

Apa yang merisaukan dan perlu diberikan perhatian adalah sekiranya pelajar membuat pilihan yang tidak tepat atau mungkin pilihan yang silap seperti memilih laluan diploma untuk ke ijazah perubatan. Bukanlah bermakna laluan diploma tidak boleh langsung membawa pelajar ke ijazah perubatan tetapi peluang untuk berjaya agak tipis berbanding laluan pra-universiti (asasi/ matrikulasi) selain mengambil masa yang agak lama, di mana diploma akan mengambil masa 2½ – 3 tahun berbanding laluan asasi/ matrikulasi yang hanya mengambil masa 1 tahun sahaja; Dan tentulah dengan tempoh masa yang lama akan juga meningkatkan kos@yuran pengajian yang perlu ditanggung.

Satu perkara lagi yang pelajar sering terlepas pandang adalah mengandaikan selepas tamat pengajian diploma, mereka boleh terus ke ijazah sarjana muda (begitu sahaja). Laluan sebenarnya tidaklah semudah itu.

  • Pemohon lepasan diploma mesti memenuhi atau melepasi syarat PNGK minima atau tidak layak untuk memohon atau dengan syarat telah pun ada pengalaman berkerja di dalam tempoh tertentu (jika PNGK yang dicapai) tidak melepasi tidak melepasi syarat PNGK yang ditetapkan
  • Bidang pengajian diploma untuk memohon ke ijazah sarjana muda mestilah dari bidang yang sama atau yang ada kaitan dengan bidang ijazah sarjana muda yang dipohon. Malah jika dibolehkan pun pemohon terpaksa bersaing dengan pemohon lain yang memiliki diploma dari bidang yang sama. Jika syarat 3.00 biasanya jika dari bidang yang berlainan, pemohon perlu mencapai PNGK yang lebih tinggi dari 3.00 untuk bersaing dengan pemohon dari kalangan lepasan diploma dari bidang yang sama.
  • Lepasan diploma perlu mencapai keputusan akhir (PNGK keseluruhan) yang memenuhi – melepasi syarat kelayakan minima bagi lepasan diploma untuk ke pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Pada kebiasaannya jika syarat PNGK bagi lepasan asasi ianya juga sama untuk lepasan diploma
  • Bayangkan jika syaratnya 3.00 – bermakna pelajar diploma mesti mencapai PNG setiap semester yang tidak boleh kurang atau rendah daripada 3.00 supaya purata keseluruhannya juga tidak akan menjadi lebih rendah daripada 3.00 – jika diploma 2½ tahun ianya bersamaan dengan 5 semester atau 3 tahun yang bersamaan dengan 6 semester. Untuk setiap semester samada 5 atau 6 semester pelajar mesti mencapai PNG 3.00; Berbanding pelajar asasi/ matrikulasi yang tempoh pengajiannya 1 tahun atau bersamaan 2 semester, tentulah bebanan bagi pelajar diploma lebih berat untuk dilalui
  • Adalah silap jika menganggapkan lepasan diploma boleh terus ke tahun 2 pengajian ijazah secara automatik. Penentuan semester kemasukan adalah berdasarkan kepada perpindahan kredit (credit transfer), yang bermaksud pemohon perlu mencapai gred minima tertentu untuk kursus (mata pelajaran) yang telah di ambil semasa diploma yang ada persamaan dengan kursus yang ada di dalam pengajian ijazah sarjana muda. Hanya setelah memenuhi syarat yang ditetapkan ini barulah lepasan diploma akan mendapat pengecualian daripada mengambil kursus tersebut di peringkat ijazah sarjana muda; Yang mana apabila dikumpulkan secara keseluruhan dapatlah ditentukan semester kemasukan pelajar berdasarkan pengecualian yang diperolehi

Kegagalan untuk terus ke ijazah sarjana muda selepas menamatkan pengajian diploma juga boleh disebabkan keputusan penuh pengajian diploma yang lewat diperolehi hanya selepas tarikh tutup permohonan ke ijazah sarjana muda melalui UPU. Namun peluang masih ada sekiranya telah mendapat keputusan penuh apabila keputusan permohonan melalui UPU diumumkan dengan mengemukakannya di dalam permohonan rayuan melalui UPU.

Ini biasanya hanya melibatkan pemohon lepasan diploma yang memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di institusi lain yang perlu memohon melalui UPU. Namun jika lepasan diploma memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di institusi yang sama, perkara ini boleh dielakkan kerana pada kebiasaannya permohonan dibuat secara dalaman atau disebut sebagai penerapan.

Untuk itulah sangat penting bagi setiap pelajar mengenalpasti bidang pengajian yang ingin diikuti untuk memastikan pelajar dapat memilih laluan yang betul untuk mencapai@memperolehi kelayakan yang diperlukan – seterusnya untuk mencapai cita-cita kerjaya pelajar sendiri.