12 PILIHAN

Setiap pelajar calon SPM dan pelajar-pelajar STPM; Asasi; Matrikulasi dll.. sepatutnya dari awal lagi telah ada merancang dengan menyenaraikan 12 program pengajian yang mereka akan memohon melalui UPU.

Kenapa 12 pilihan ? Kenapa mesti merancang awal ?

Untuk permohonan melanjutkan pengajian melalui UPU pelajar diberi peluang untuk mengemukakan 12 pilihan program pengajian dengan had minima 6 pilihan. Antara 6 pilihan dan 12 pilihan tentulah jika pelajar mengemukakan 12 pilihan ianya adalah lebih baik kerana pelajar akan mempunyai 12 peluang untuk mendapat tempat berbanding jika hanya mengemukakan 6 pilihan maka peluang pun hanya ada 6 peluang sahaja untuk mendapat tempat yang dipohon.

Namun setiap tahun ada sahaja pelajar yang mendapat tawaran ke program pilihan yang terkebelakang menyatakan yang mereka tidak meminati program tersebut (sedangkan mereka sendiri yang memohon) dan bercadang untuk menolak tawaran tersebut untuk menjadikan mereka berstatus tidak mendapat apa-apa tawaran untuk melayakkan mereka mengemukakan rayuan, kerana rayuan hanya boleh dikemukakan oleh pelajar yang tidak mendapat tawaran sahaja. Ini andaian yang salah, kerana sekalipun pelajar menolak tawaran yang diterima, di dalam rekod UPU pelajar masih lagi berstatus telah mendapat tawaran dan tidak layak untuk mengemukakan rayuan (bukan sahaja tidak layak tetapi tidak akan ada akses pun di dalam sistem permohonan rayuan UPU untuk pelajar mengemukakan rayuan).

Kenapa nak tolak tawaran ke program pengajian yang pelajar sendiri mohon ? Antara jawapan yang diberi adalah pelajar hanya berminat untuk pilihan 1, 2, 3 dan 4 sahaja; Tetapi untuk melengkapkan 12 pilihan di dalam borang permohonan, pelajar mengisikan baki pilihan dengan apa-apa saja program yang layak dipohon. Malah ada yang memilih dengan mengisi program tanpa mengambil tahu langsung tentang program tersebut, ikut kawan, pilih saja apa yang terpapar di dalam borang permohonan dalam talian – asalkan dapat lengkapkan 12 pilihan permohonan – selesai; Dan akhirnya ditawarkan ke program tersebut yang menyebabkan ada pelajar yang setelah mendapat tawaran baru bertanya-tanya tentang program tersebut, dan setelah diketahui tidak sesuai barulah timbul untuk menolak tawaran tersebut.

Mulai 2019, permohonan melalui UPU tidak lagi menawarkan pilihan untuk pelajar yang memohon untuk memilih untuk setuju sekiranya ditawarkan ke program lain sekiranya gagal ke program yang dipohon, kerana timbul masalah apabila pelajar ditawarkan ke program yang tidak diminati dia terpaksa menerima atau menolaknya. Kini apa yang ditawarkan kepada pelajar adalah apa yang pelajar sendiri memohon dan jika gagal ke mana-mana pilihan tersebut pelajar tidak akan mendapat apa-apa tawaran dan membolehkan pelajar mengemukakan permohonan rayuan.

Kalau dulu mungkin boleh salahkan UPU kerana menawarkan pelajar ke program yang tidak diminati dan menyebabkan pelajar terpaksa menerima atau menolak tawaran dan tidak boleh mengemukakan rayuan; kerana sekarang apa yang ditawarkan adapa apa yang pelajar sendiri yang memohon dan jika gagal di dalam semua pilihan yang dikemukakan pelajar tidak akan mendapat apa-apa tawaran dan boleh mengemukakan permohonan rayuan.

Jadi kenapa tidak pelajar dari awal lagi merancang dengan sebaiknya 12 program pengajian untuk dipohon, supaya sekiranya pelajar mendapat tawaran ke program pilihan ke 10, 11 atau 12 sekalipun pelajar akan rasa berpuashati kerana walaupun pilihan ke 10, 11 atau 12 ianya adalah merupakan salah satu daripada program pengajian yang sememangnya pelajar berminat dan sepatutnya bersedia untuk menerima tawaran tersebut.

Bagaimana untuk merancang ?

Sebagaimana pelajar merancang cita-cita kerjaya pelajar sendiri ada Plan A; Plan B; Plan C atau mungkin Plan D. Tiga(3) pelan pilihan pun sudah memadai. Ianya perancangan pelajar sendiri contohnya pelajar bercita-cita dalam bidang Kejuruteraan Awam sebagai pilihan atau cita-cita utama. Sekiranya gagal untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam, pilihan kedua adalah bidang Teknologi Maklumat/Sains Komputer dan bidang pilihan ketiga dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Jadi rancang dan susunlah setiap bidang dengan program pengajian yang sesuai contohnya

Bidang Pilihan 1 – Kejuruteraan Awam
1. Asasi Kejuruteraan – UiTM
2. Diploma Kejuruteraan Awam – UiTM
3. Diploma Kejuruteraan Awam – UTHM
4. Diploma Kejuruteraan Awam – Politeknik Premier

Bidang pilihan 2 – Sains Komputer/ Teknologi Maklumat
5. Diploma Sains Komputer – UiTM
6. Diploma Sains Komputer – UPSI
7. Diploma Teknologi Maklumat – UTHM
8. Diploma Teknologi Maklumat – Politeknik Premier

Bidang pilihan 3 – Pengurusan Perniagaan
9. Diploma Pengajian Perniagaan – UiTM
10. Diploma Keushawanan – UPSI
11. Diploma Perdagangan Antarabangsa – UNISZA
12. Diploma Pengajian Perniagaan – Politeknik Premier

Lengkaplah 12 pilihan program pengajian yang pelajar akan isi untuk mengemukakan permohonan melalui UPU nanti

Dari situ juga pelajar sudah boleh membuat persediaan awal
1. Mengetahu apa syarat kelayakan minima untuk memohon
2. Berapa purata markah merit pemohon yang berjaya ke setiap program tersebut sebelum ini

Dan yang tinggal adalah untuk pelajar berusaha dari sekarang untuk mencapai keputusan peperiksaan yang memenuhi syarat dan juga merit yang diperlukan – bukan setakat untuk layak memohon tetapi untuk mencerahkan peluang mendapat tempat yang dipohon

Dan sekiranya dengan mengemukakan permohonan ke 12 program ini; Pelajar ditawarkan ke program pilihan ke 12 sekalipun, pelajar masih boleh bersyukur kerana ianya adalah merupakan salah satu daripada pilihan yang pelajar sendiri rancang dari awal untuk memohon.

Rancanglah dari awal = seawal sekarang juga

Untuk memudahkan perancangan di buat, pelajar boleh memuat turun ebook panduan pemilihan program pengajian secara percuma dari . Ebook ini mengandungi….

  • Senarai program pengajian bagi lepasan SPM yang telah disusun bidang-bidang pengajian tertentu untuk memudahkan pelajar membuat pilihan program pengajian mengikuti bidang
  • Ebook ini juga menyenaraikan 44 program asasi di universiti awam yang lengkap dengan senarai program ijazah sarjana muda apa yang pelajar boleh ikuti setelah menamatkan pengajian asasi tersebut.
  • Dan juga mengandungi senarai 1,072 program ijazah sarjana muda di universiti awam yang menunjukkan laluan kemasukan ke setiap program ijazah sarjana muda tersebut

Semoga mendapat manfaat yang terbaik, insyaallah

Share This: