3 FAKTOR PENTING DI DALAM MERANCANG MELANJUTKAN PENGAJIAN
Apabila merancang untuk melanjutkan pengajian selepas SPM, ada 3 faktor penting yang MESTI diberikan pertimbangan sewajarnya
- BIDANG Pengajian
- PROGRAM Pengajian
- INSTITUSI Pengajian
Bidang Pengajian
Apa yang paling penting adalah setiap pelajar MESTI ada cita-cita kerjaya untuk menentukan BIDANG pengajian yang terbaik sesuai dengan cita-cita kerjaya yang ingin dicapainya.
Bidang pengajian juga akan menentukan kedua-dua faktor seterusnya – PROGRAM dan INSTITUSI Pengajian yang bersesuaian dengan BIDANG yang dipilih
Program Pengajian
Berdasarkan BIDANG yang dipilihlah yang akan menentukan PROGRAM pengajian apa yang sesuai untuk pelajar ikuti. Ada bidang kerjaya serta jawatan di dalam bidang yang memerlukan kelayakan minima di peringkat ijazah sarjana muda. Malah ada yang memerlukan kelayakan sehingga ke peringkat sarjana (masters) dan Kedoktoran Falsafah (PhD)
Bidang-bidang seperti Perubatan (Doktor); Kejuruteraan (kerjaya Jurutera), Perakaunan (Akauntan); Pendidikan (guru); Undang-undang (Peguam atau Pengamal Undang-undang) serta jawatan di peringat pengurusan akan memerlukan minima ijazah sarjana muda.
Bidang Senibina (arkitek) memerlukan kelayakan minima ijazah sarjana (masters – M.Arch) untuk layak mendaftar menduduki peperiksaan professional Lembaga Arkitek untuk layak menggunakan gelaran Arkitek (Ar.) pada pangkal namanya.
Kelayakan yang diperlukan untuk menjadi seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi kini kebanyakkannya memerlukan kelayakan di peringkat ijazah kedoktoran falsafah (PhD) atau sekurang-kurannya sarjana (masters)
Namun ada juga bidang seperti yang berkaitan dengan kemahiran yang hanya memerlukan kelayakan di peringkat sijil atau diploma sahaja.
Jadi sekiranya pelajar bercita-cita untuk menyertai kerjaya sebagaimana yang disebut di atas, maka sebaiknya pelajar mensasarkan untuk mengikuti pengajian di peringkat pra-universiti selepas SPM kelak untuk lebih cepat dan mudah ke pengajian di peringkat ijazah sarjana muda atau yang lebih tinggi lagi.
Institusi Pengajian
Ini adalah faktor terakhir sekali kerapa suka atau tidak suka, pelajar hanya boleh melanjutkan pengajian ke institusi pengajian yang ada menawarkan PROGRAM pengajian di dalam BIDANG pengajian yang berkaitan dengan cita-cita kerjaya pelajar sendiri.
Utamakan untuk mencapai cita-cita kerjaya daripada terlalu memilih sesebuah IPT tertentu disebabkan faktor yang tidak akademik seperti sebab dekat dengan rumah; Sudah ada adik beradik yang belajar di institusi yang sama, populariti sesebuah institusi dan seumpamanya.
Seorang pelajar yang jelas dengan cita-cita kerjaya yang ingin dicapainya akan lebih mudah pengajiannya sebab beliau akan lebih fokus belajar kerana tahu apa sasaran untuk melanjutkan pengajian selepas SPM kelak
Pelajar akan lebih mudah membuat persediaan setelah mengetahui program pengajian di dalam bidang apa dan di institusi mana untuk beliau melanjutkan pengajian dengan seterusnya mengetahui apakah syarat kemasukan ke institusi tersebut untuk beliau membuat persediaan rapi.
Ibu bapa dan guru juga akan lebih mudah membantu pelajar yang telah jelas tentang halatujunya ini.