ANTARA ASASI, MATRIKULASI ATAU DIPLOMA

Pelajar tak perlulah nak bergaduh-gaduh mempertahankan mana-mana satu dari program itu lebih baik dari yang lain. Kadang-kadang kita tidak berlaku adil bilamana hanya sebab kita mengikuti salah satu daripada program tersebut maka kita katakan program itulah yang lebih baik dari yang lain

Semua program adalah baik, namun yang terbaik adalah yang dipilih berdasarkan DUA(2) faktor utama yang perlu diambil-kira di dalam membuat pilihan program pengajian yang sesuai samada ianya asasi, matrikulasi, diploma, sijil atau kelayakan professional (seperti CAT, ACCA, dll..)

1. Bidang Pengajian – jawatan dalam pekerjaan

jika bidang pilihan pelajar (berdasarkan cita-cita kerjaya pelajar) memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda (contohnya perubatan, pergigian, arkitek, jurutera, guru dan lain-lain seumpamanya) maka laluan yang terbaik adalah melalui program pra-universiti seperti asasi/matrikulasi untuk lebih cepat pelajar ke pengajian di peringkat ijazah sarjana muda; berbanding laluan diploma.

Secara terperinci contohnya jika ianya program ijazah sarjana muda di UPSI dalam bidang-bidang Bahasa, sastera dan sejarah yang hanya mengambil lepasan STPM sahaja, maka STPM adalah lebih baik berbanding asasi, matrikulasi atau diploma untuk bidang-bidang ini.

Untuk bidang senibina pula contohnya di mana untuk layak menjadi seorang arkitek bertauliah dengan gelaran Ar. pada pangkal nama memerlukan kelayakan di peringkat sarjana (Masters) untuk layak mendaftar menduduki peperiksaan professional Lembaga arkitek yang setelah lulus barulah boleh memakai gelaran Ar. pada pangkal Namanya; Jadi jika memerlukan kelayakan sarjana, laluan terbaik adalah melalui program asasi/matrikulasi (1 tahun) + ijazah sarjana muda sains senibina(3 tahun) + ijazah sarjana senibina (2 tahun) = 6 tahun (berbanding laluan diploma (3 tahun) + ijazah sarjana muda sains senibina(3 tahun) + ijazah sarjana senibina (2 tahun) = 8 tahun. Yang terbaik adalah jika pelajar lepasan SPM dapat (layak) untuk terus ke ijazah sarjana muda sains senibina di UiTM yang merupakan satu-satunya program ijazah sarjana muda yang boleh disertai terus selepas SPM

Jawatan cita-cita pelajar juga akan menjadi penentu kerana ada jawatan yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda ada juga yang diploma. Untuk menjadi seorang akauntan (gred WA41) dengan gaji permulaan RM2,820.00 sebulan, berbanding jawatan Pembantu Akauntan (gred W29) dengan gaji permulaan RM1,776.08 sebulan – lihat https://www.spa.gov.my/spa/laman-utama/gaji-syarat-lantikan-deskripsi-tugas

Selain itu ada juga bidang kerjaya seperti dalam bidang kulinari yang hanya memerlukan kelayakan di peringkat diploma sahaja yang sudah memadai; Begitu juga bidang-bidang seperti penyelenggaraan bangunan, kenderaan (baik pulih) operasi pertanian dan seumpamanya.

Pemilihan program pra-universiti yang sesuai juga penting diberikan pertimbangan. Contohnya jika ingin ke ijazah di sebuah universiti yang ada program asasinya sendiri, maka program asasi di universiti tersebutlah yang lebih baik berbanding matrikulasi; Namun jika universiti berkenaan tiada menawarkan program asasi, maka laluan lain adalah melalui program matrikulasi atau program asasi sains di UM atau program asasi di UiTM yang diterima untuk melanjutkan pengajian di mana-mana universiti awam (berbanding asasi universiti awam lain yang hanya khusus untuk melanjutkan pengajian di universiti awam berkenaan sahaja). Namun kena lihat dalam faktor kedua – syarat kelayakan di mana syarat kelayakan untuk ke matrikulasi adalah lebih rendah dan longgar berbanding syarat ke asasi di UM dan UiTM walaupun di akhirnya pelajar mempunyai peluang yang sama untuk ke peringkat ijazah sarjana muda di mana-mana universiti awam (dan juga universiti swasta)

Apa yang penting pelajar mestilah terlebih dahulu jelas apakah bidang cita kerjaya yang ingin diceburi untuk menentukan laluan manakah yang terbaik untuk diikuti.

2. Pencapaian pelajar

Walau apa pun bidang yang pelajar pilih yang seterusnya menentukan program yang paling sesuai diikuti berdasarkan bidang yang dipilih, ketentuan akhir adalah berdasarkan kepada pencapaian pelajar itu sendiri – untuk samada layak atau tidak layak mengikuti program tersebut.

Untuk layak ke program asasi contohnya akan memerlukan pelajar memperolehi rata-rata 5 gred A terutamanya di dalam 5 mata pelajaran utama merit, berbanding matrikulasi atau diploma.

Untuk layak memohon ke program persediaan ijazah sarjana muda perguruan yang seterusnya ke program ijazah sarjana muda perguruan di IPG pula memerlukan kelayakan minima 5 gred cemerlang (A) selain gred-gred tertentu di dalam mata-mata pelajaran yang berkaitan dengan pengkhususan yang dipohon.

Kadang-kadang ada pelajar yang keputusan SPMnya hanya layak untuk memohon ke diploma sahaja dan berjaya ke program diploma (tetapi tidak layak ke asasi / matrikulasi); tetapi mengatakan program diploma yand diikutinya itulah yang terbaik serta lebih baik berbanding program asasi/ matrikulasi. Ini pandangan berat sebelah yang tidak adil, jadi untuk pelajar yang bakal melanjutkan pengajian selepas SPM pastikan untuk mendapat maklumat yang tepat – bertepatan dengan bidang apa yang pelajar ingin melanjutkan pengajian dan pencapaian pelajar di dalam SPM

Jadi dari segi syarat, Ianya (program) bukan soal apa yang kita hendak, tetapi apa yang kita sebenarnya layak untuk memohon dan berpeluang mendapat tempat pengajian.   

Rumusan

  • Utamakan bidang pengajian apa yang pelajar bercadang untuk melanjutkan pengajian – bidang cita-cita kerjaya yang pelajar sendiri ingin capai
  • Kerana bidang itulah yang akan menentukan program pengajian apa yang paling sesuai untuk pelajar ikuti apabila melanjutkan pengajian kelak
  • Sebaiknya pelajar jelas dari awal apakah cita-cita kerjaya yang ingin dicapai supaya dari situ pelajar boleh merancang dari asal apakah laluan yang sesuai untuk mencapai kelayakan yang diperlukan; Yang dalam masa yang sama juga akan memudah pelajar untuk fokus belajar untuk mencapai keputusan yang akan melayakkan pelajar memohon melanjutkan pengajian ke program pengajian yang sesuai dengan bidang cita-cita kerjaya pelajar

Share This: