PROGRAM TERBAIK

Tidak perlu tanya program apa yang baik antara asasi, matrikulasi, stpm atau diploma; Malah semua program pengajian dari peringkat Sijil, Diploma, Asasi, Tamhidi(USIM), Matrikulasi, STPM, STAM, Foundation(IPTS); A-Level, IB dan lain-lain semuanya ada program pengajian yang baik.

Tetapi apa yang terbaik untuk pelajar pilih bergantung kepada dua (2) faktor utama – BIDANG pengajian ke arah cita-cita kerjaya pelajar sendiri dan PENCAPAIAN pelajar di dalam SPM.

Ada BIDANG pekerjaan yang memerlukan kelayakan di peringkat sijil atau diploma sahaja. Jadi jika itu bidang kerjaya pilihan pelajar maka program sijil atau diploma adalah yang terbaik untuk pelajar pilih untuk melanjutkan pengajian.

Tidak kurang juga adanya bidang pengajian yang memerlukan kelayakan sehingga ke peringkat Sarjana (Masters) contohnya bidang senibina di mana untuk menjadi seorang akitek bertauliah dengan gelaran Ar. pada pangkal namanya memerlukan kelayakan Sarjana Senibina (M.Arch) untuk layak menduduki peperiksaan professional Lembaga Arkitek untuk mendapatkan gelaran tersebut. Jadi jika untuk menjadi arkitek laluan terbaik adalah jika dapat terus ke program Ijazah sarjana muda sains senibina di UiTM atau memilih laluan pra-universiti seperti asasi atau matrikulasi untuk lebih cepat ke ijazah berbanding laluan diploma.

Begitu juga bagi kebanyakkan bidang professional yang memerlukan kelayakan minima di peringkat ijazah sarjana muda di mana laluan terbaik adalah melalui program pra-universiti seperti asasi, matrikulasi, foundation dan yang seumpamanya.

Namun ianya bergantung kepada faktor kedua – PENCAPAIAN pelajar. Walaupun untuk ke pengajian di peringkat sarjana senibina dengan cepat adalah melalui program ijazah sarjana muda sains senibina; tetapi jika pencapaian pelajar tidak memenuhi syarat atau tidak cukup baik untuk ke program tersebut, maka pilihlah laluan diploma kerana dengan pencapaian SPM yang begitu, laluan diploma adalah laluan yang terbaik untuk pelajar berkenaan.

Untuk pelajar calon SPM akan datang, rancanglah awal-awal laluan yang terbaik mungkin untuk memperolehi kelayakan yang diperlukan untuk mencapai cita-cita kerjayanya; Kerana setelah keputusan SPM diperolehi pilihan bukan lagi berdasarkan apa yang kita hendak tetapi apa yang kita layak – berdasarkan pencapaian kita di dalam SPM

Share This: